Monday, 25 December 2017

Cabaran Sukar Mahathir, PPBM Menjelang PRU-14

Image result for kesukaran mahathir hadapi pru14

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelihatan berdepan cabaran sukar untuk menjadi relevan kepada rakyat terutama pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), berikutan pergolakan dan krisis yang dialami parti itu sepanjang tahun ini.

Apa tidaknya, dalam tempoh setahun lebih penubuhannya PPBM sudah pun dilanda konflik hilang kepercayaan oleh anggota terhadap kepimpinan tertinggi dan hala tuju parti, sekali gus menyaksikan ramai antara mereka bertindak keluar parti.

Antara yang meninggalkan parti itu termasuklah mereka yang menjadi pengasas penubuhan PPBM iaitu bekas naib presidennya Datuk Hamidah Osman; bekas Setiausaha Kerja, Kamarul Azman Habibur Rahman dan bekas Ketua Srikandi, Anina Saadudin.

Kamarul Azman keluar PPBM pada April lalu selepas mendakwa ia tiada hala tuju yang jelas dalam membela rakyat, sementara Hamidah dan Anina meninggalkan parti itu pada September kerana dikatakan kecewa dengan kepimpinan parti.

Beberapa lagi individu yang memegang jawatan penting pada peringkat pusat atau negeri turut mengumumkan keluar parti itu termasuk bekas Penolong Setiausaha Srikandi, Hasnita Hishamudin pada September lalu dan lima pemimpin Srikandi termasuk seorang EXCO Srikandi Malaysia daripada tiga bahagian di Kedah pada awal bulan ini.

Selain itu, tindakan keluar parti beramai-ramai oleh anggota PPBM turut dilaporkan sepanjang tahun ini atas pelbagai alasan yang menjurus kepada isu hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi, antaranya membabitkan kira-kira 500 anggota Bahagian Rembau, Negeri Sembilan; lebih 1,000 anggota di Perak dan 200 anggota di Melaka.

Selain isu anggota keluar parti, PPBM juga seperti berada di awang-awangan apabila berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia jika gagal mengadakan perhimpunan agung tahunan dalam tempoh ditetapkan, sekali gus berdepan risiko tidak layak bertanding dalam PRU14.

Mungkin itulah realiti yang terpaksa dihadapi Mahathir yang sebenarnya boleh dijangka kerana penubuhan PPBM dibuat tanpa asas yang kukuh dan berlandaskan dendam serta niat semata-mata hendak menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain kemelut yang dilanda partinya, Dr Mahathir juga seperti mempamerkan diri sebagai seorang yang tidak relevan apabila dilihat tidak konsisten dan gemar mengubah pendiriannya mengenai sesuatu perkara sehinggakan digelar 'juara u-turn' dan 'u-turn Mahathir' oleh Najib.

"Saya yang memulakan pelabelan DAP sebagai parti cauvinis Cina. Tetapi apabila saya mendekati mereka, saya mendapati mereka bukan parti hanya untuk Cina seperti MCA," kata Mahathir seperti dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Bekas perdana menteri dan presiden UMNO dari 1981 hingga 2003 itu ketika eranya lantang mengkritik DAP sebagai sebuah parti yang cauvanis dan pernah melabelkan penasihat parti itu, Lim Kit Siang, sebagai seorang yang rasis dan pelampau perkauman.

Mahathir juga pernah mengkritik Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan BN, namun kemudiannya membayangkan hasrat untuk meneruskan bantuan itu sekiranya pembangkang menang pada PRU akan datang.

Pengerusi PPBM itu turut mencetuskan kontroversi lain apabila dikatakan mengeluarkan kata-kata yang menghina masyarakat Bugis ketika berucap pada satu perhimpunan Oktober lalu sehingga mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk Sultan Selangor Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa murka dan amat kecewa baginda.

Pada 13 Julai lalu, Pakatan Harapan yang menggabungkan empat parti pembangkang DAP, PPBM, PKR dan Amanah mengumumkan struktur kepimpinan baharunya dengan Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum.

Keputusan mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang itu kelihatannya seperti ada keseragaman dan kesepakatan dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan, namun isu pokok iaitu calon perdana menteri masih terus menjadi persoalan.

Walaupun Kongres Nasional Tahunan PKR pada Mei lalu sepakat untuk menjadikan Anwar sebagai calon perdana menteri, pemimpin itu kini sedang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan meliwat dan tidak mungkin berpeluang untuk bertanding pada PRU akan datang.

Awal bulan ini, timbul pula cadangan untuk melantik Mahathir ke jawatan itu dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail sebagai timbalannya yang kononnya hanya menunggu restu daripada Anwar.

Isu calon perdana menteri Pakatan Harapan turut mendapat reaksi daripada Najib semasa menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 pada 9 Disember lalu, menyifatkan cadangan untuk melantik semula Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah tidak logik.

"Ada dengar juga ada orang umur 93 tahun berminat nak menjadi Perdana Menteri semula. Yang senja meniti malam, (bekas Presiden) Zimbabwe (Robert Mugabe) pun sudah tidak ada. Sebelah sana (pembangkang) sudah tidak menentu," kata Najib.

Terbaharu, dalam satu sidang media pada 12 Disember lalu, Dr Mahathir berkata Pakatan Harapan belum membuat sebarang keputusan berhubung calon perdana menteri dan menyatakan kesediaannya untuk dicalonkan jika gabungan pembangkang tidak mempunyai calon lain.

No comments:

Post a Comment